LAPORAN polis dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, hari ini bagi menggesa siasatan dijalankan sama ada bukti berkaitan kes mahkamahnya disembunyikan pihak tertentu.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata laporan berkenaan dibuatnya agar pihak polis menyiasat kemungkinan terdapat anggota penting pelbagai agensi kerajaan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menyembunyikan bukti.
Beliau membuat laporan itu susulan pendedahan mengenai transaksi jutaan ringgit dikaitkan dengan saksi pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International yang dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
“Tiada orang yang lebih kecewa daripada saya kerana tiada agensi penyiasatan pernah mendedahkan kepada saya hubungan keluarga Gabenor itu dengan Jho Low,” katanya yang ditemui media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang disimpan syarikat milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di Singapura berjaya diambil semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Dewan Rakyat, dana itu disimpan syarikat Datuk Tawfiq Ayman, dan hanya diketahui polis pada tahun 2019. – Malaysiapost

