Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baharu jika keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos ini tidak memihak kepada pasukannya dalam Bersatu.
Memetik laporan Bernama, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau bersama pasukannya juga akan membuat penilaian lain seperti menyertai parti sedia ada, namun semuanya bergantung kepada keputusan mahkamah nanti.
“Kalau kita nak bertanding pada Pilihan Raya Umum perlu ada parti, jadi kita tunggu keputusan mahkamah, sama ada buat parti atau tidak.
“Kita juga kaji untuk sertai parti lain, tapi semua belum diputuskan,” katanya selepas hadiri satu program di Langkawi hari ini.
Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 Ogos ini bagi memutuskan permohonan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga yang lagi bagi membatalkan saman dikemukakan Dr Mahathir dan empat yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu.

