PELAKON Adam Corrie menasihati kepada mereka yang masih mencari pasangan dan pasangan suami isteri yang belum mendapat cahaya mata agar jangan bimbang mengenainya.
Menerusi hantaran di Instagram, Adam berkongsi kisahnya yang lambat menemui jodoh dan dianugerahkan zuriat.
“Tidak perlu bimbang dapat jodoh atau anak lambat. Saya dapat bertemu jodoh ketika usia 40 tahun. Dapat zuriat ketika usia 50 tahun,” katanya.
Adam yang terkenal sebagai pelakon antagonis turut memuat naik gambar bersama anak lelakinya sambil memberi kapsyen yang penuh dengan kata-kata motivasi .
“Tak ada jodoh bukannya kita tak boleh bahagia. Boleh berbakti kepada keluarga dan masyarakat.
“Ada anak pun rezeki, tiada anak pun rezeki. Bahagia itu ada pada diri kita kalau kita terus bersyukur apa yang kita ada,” katanya.
Justeru, Adam yang pernah mengalami situasi berkenaan menasihati mereka supaya sentiasa berdoa dan jangan berputus asa.
“Pedulikan apa orang kata. Kita hanya manusia, hanya mampu berusaha, berdoa kepadaNya. Selebihnya kita tawakal kepada Allah.
“Senyum selalu. Selalu bersangka baik. Insya-Allah hati tenang,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen setuju dengan pandangan pelakon itu.
Perkongsian Adam itu telah menarik perhatian orang ramai, terutama buat mereka yang masih belum menemui pasangan dan yang masih menantikan cahaya mata. – Malaysiapost

