PENERBIT terkenal Datuk Yusry mendedahkan pernah ada pengalaman disingkir gara-gara mencadangkan agar menukar pelakon utama kerana gagal membawa watak yang ditugaskan.
Suami kepada pelakon Lisa Surihani itu turut mempersoalkan adakah jumlah pengikut di media sosial atau influencer adalah kriteria untuk jadi pelakon drama bagi televisyen.
“Apa kriteria utk pelakon drama TV? Followers? Influencer?
“(Pada) 2021, saya cadang ke produser untuk tukar pelakon utama sebab tidak boleh bawa watak selepas tiga hari penggambaran. Lets reshoot!,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Bagaimanapun, anggota kumpulan KRU itu pula ‘ditukarkan’ kerana pihak penyiar tetap mahu pelakon tersebut membawa watak utama.
“Tapi penyiar tetap mahu ‘pelakon’ itu. Saya yang ditukar. Situasi drama TV tempatan adalah angkara penyiar itu sendiri,” tulisnya lagi.
Perdebatan mengenai pemilihan watak utama bagi drama televisyen hangat diperkatakan kerana pendedahan oleh pelakon sendiri mengenai syarat utama pihak penerbit dan penyiar adalah mereka harus mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial.
Wajah-wajah pemain baharu dalam kaca televisyen kini juga menampilkan daripada mereka yang terkenal menerusi media sosial dan beralih kepada dunia lakonan. – Malaysiapost

