Covid-19: KKM sekat perjalanan ke 7 negara

0
1

PENGEMBARA Malaysia yang merancang melawat ke Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.

Ia berikutan penularan varian baharu Covid-19, iaitu B.1.1.529.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut melakukan sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara berkenaan.

“Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

“Selain itu sampel akan diambil dari individu yang tiba dari negara negara tersebut untuk survelan genomik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, keputusan ini berkuatkuasa pada 27 November 2021.

“KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan situasi varian baharu ini di dalam dan luar negara termasuk pelaporan daripada pihak WHO,” katanya.

Terdahulu menurut KKM, setakat ini tiga negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu tersebut iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (4 kes) dan Hong Kong (2 kes).

Kes pertama dilaporkan di Botswana pada 11 November 2021, manakala Afrika Selatan pada 14 November 2021 dan Hong Kong pada 25 November 2021. Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan.

Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta. Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here