Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang akan menerima peruntukan setara pada tahun hadapan, iaitu sebanyak RM800,000
Beliau berkata, peruntukan itu diberikan saksama bagi menunjukkan kerjasama utuh dari setiap dan semua wakil Ahli Dewan Negeri (Adun) bahawa keutamaan rakyat diutamakan, bukan dipolitikkan.
“Dengan mengambil semangat Kita Selangor ini, peruntukan Ahli-ahli Dewan Negeri pihak pembangkang akan dinaikkan sehingga RM400,000 bagi tahun 2022 berbanding RM150,000 pada ketika ini.
“Manakala itu, pentadbiran ini dimaklumkan bahawa sejumlah RM400,000 turut akan disalurkan kepada mereka oleh kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Persekutuan (ICU JPM).
“Ini menjadikan jumlah peruntukan yang diterima Ahli-ahli Dewan Negeri Pembangkang berjumlah RM800,000 iaitu setara dengan jumlah peruntukan diterima oleh Ahli-ahli Dewan Negeri Kerajaan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2022 Selangor hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, bagi Ahli-ahli Dewan Negeri bebas yang menyokong Kerajaan Negeri akan menerima peningkatan peruntukan sehingga RM500,000 pada tahun 2022. – Malaysiapost

