PH dakwa Peguam Negara amal pendakwaan terpilih

0
2

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan meneliti siri tindakan Peguam Negra berhubung isu pendakwaan dan kehakiman baru-baru ini, termasuk kes YB Pasir Salak,

PAKATAN Harapan (PH) mendakwa kegagalan Peguam Negara mengambil tindakan dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, menunjukkan salah guna kuasa dengan melakukan pendakwaan berpilih yang bermotif politik.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan hari ini berkata Tajuddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mei lalu atas dakwaan salah guna kuasa.

Namun, selepas enam bulan beliau masih tidak dibawa ke mahkamah dan dilaporkan SPRM menunggu arahan Peguam Negara untuk pendakwaan.

“Pada ketika YB Pasir Salak bakal menjadi duta Malaysia ke Indonesia, isu penahanan beliau oleh SPRM ini mungkin akan mewujudkan persepsi amat buruk terhadap negara.

“Adakah penghormatan tertinggi diberikan kepada sebuah negara jiran penting apabila Malaysia melantik seorang Duta Besar yang pernah ditahan kerajaan sendiri atas dakwaan salah guna kuasa,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau.

Menurut Majlis Presiden PH lagi, pihaknya turut meneliti tindakan Peguam Negara, termasuk membatalkan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dari dakwaan rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.

Katanya, ahli perniagaan tersebut telah mengaku bersalah dan didenda kerana memberi sogokan kepada Tengku Adnan.

“Majlis Presiden amat kesal bahawa sehingga hari ini, Peguam Negara masih belum lagi memberi sebarang penjelasan terhadap tindakan beliau ini.

Oleh itu, kami menggesa Peguam Negara segera memberi penjelasan mengapa YB Pasir Salak tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Sekiranya beliau gagal mendakwa YB Pasir Salak, maka Peguam Negara tidak layak memegang jawatan penting ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here