SATU rakaman video seorang pemuda dengan masalah mental dicekik sehingga mati oleh tiga lelaki lain kerana disyaki mencuri pembesar suara, tular di media sosial.
Insiden itu dipercayai dirakam di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, Ipoh, semalam.
Menerusi Twitter zack_rockstar yang menularkan klip rakaman pergaduhan itu, kematian mangsa didakwa hanya dirakam dan disaksikan oleh orang ramai yang cuma berdiri di sekeliling mangsa tanpa memberi pertolongan.
“Beliau mati dicekik kerana disyaki mencuri portable pembesar suara yang tidak seberapa harganya. Kematiannya disaksikan oleh orang ramai, tidak kurang yang merakam video sepanjang kejadian sehingga malaikat maut mencabut nyawanya,” tulisnya.
Sehubungan itu, rata-rata pengguna Twitter meluahkan perasaan simpati dan marah melihat mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental diperlakukan sedemikian.
Pengguna Twitter @ugluqman menyifatkan tindakan suspek tidak keperimanusiaan kerana menyebabkan mangsa maut cuma hanya kerana pembesar suara.
“Buat malu orang Melayu sahaja, setakat pembesar suara tu berapa sangat harga dibandingkan nyawa orang,” katanya.
@ikarbertweet pula berkata, perbuatan tiga individu terbabit termasuk mereka yang menyaksi kejadian itu sangat kejam dan pentingkan diri sendiri.
“Bila tengok balik video tu rasa nak marah dan kesian betul. Kejam gila kot pukul mangsa sampai mati sambil diperhati masyarakat beramai-ramai. Tiada siapa yang suruh bersabar,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby Road.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, meninggal dunia di tempat kejadian selepas lehernya dicekik – Malaysiapost

