Hari Malaysia: Lagi bagus rai serentak

0
2

LAGI bagus kita rai Hari Malaysia serentak di Sabah, Sarawak dan Semenanjung seperti sambutan kemerdekaan, kata pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Unimas, Profesor Dr Arnold Puyok.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun perlu diadakan sepertimana sambutan kemerdekaan, yang diraikan di seluruh negara.

“Kalau bercakap tentang Hari Malaysia, ini bukan hanya Sabah dan Sarawak sahaja.. kita bercakap tentang penggabungan Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.

“Jadi tanpa Semenanjung tak ada Malaysia, tak ada Sabah dan Sarawak pun tiadalah Malaysia juga.

“Justeru bagi saya, sambutan Hari Malaysia perlu diangkat ke peringkat nasional dan perlu di bawa ke Semenanjung,” katanya.

Sejak diraikan pada 2010 menerusi pengisytiharan cuti umum pada tarikh 16 September setiap tahun, sambutan Hari Malaysia hanya diraikan secara bergilir-gilir di Sabah dan Sarawak.

Tahun ini, sambutan Hari Malaysia peringkat nasional diadakan di Sibu, Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Arnold berkata, ia supaya rakyat di Semenanjung sedar bahawa Hari Malaysia bukan hanya sambutan untuk penduduk di Sabah dan Sarawak, malah meraikan semua.

“Lagi bagus kita raikan serentak di Sabah, Sarawak dan Semenanjung seperti sambutan kemerdekaan,” ujarnya. – MalaysiaPost