Penduduk mahu perkhidmatan kesihatan Pulau Sebatik dinaiktaraf

0
2

PENDUDUK Pulau Sebatik di Kalabakan, berharap mana-mana calon yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, memberi perhatian terhadap isu perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Ketika ini, klinik kesihatan di Kampung Wallacebay di pulau itu agak jauh dan untuk mendapatkan rawatan di hospital yang terletak di bandar Tawau di tanah besar pula, mengambil masa 45 minit menggunakan bot bergantung kepada saiz dan kapasiti enjin.

Penduduk, Aisyah Ismail, 49, berkata perkhidmatan klinik kesihatan amat diperlukan di kampung itu terutama ketika berdepan situasi kecemasan, termasuk kes ibu mengandung yang perlu ditangani segera.

“Jika diwujudkan klinik kesihatan di sini, senang sikit, penduduk tidak perlu lagi ke tanah besar dan boleh menjimatkan kos,” katanya.

Penduduk Kampung Wallacebay, Noraziani Japar 47, mahu bakal wakil rakyat kawasan berkenaan membela nasib mereka, selain kerap turun padang membantu penduduk menyelesaikan pelbagai isu setempat.

“Apa yang lebih penting, penduduk tidak mahu lagi ketinggalan dari pelbagai aspek termasuk pembangunan infrastruktur dan keperluan asas lain,” katanya.

Sementara itu, calon Parti Cinta Sabah (PCS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Abdul Samat Akui, berkata usaha menaiktaraf perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti antara fokus utamanya.

Abdul Samat, 55, berkata kemudahan kesihatan di Pulau Sebatik wajar diberi perhatian bagi menyelesaikan rungutan penduduk yang mahu perkhidmatan lebih selesa.

“Kita memahami keluhan sebahagian penduduk di beberapa kampung di Pulau Sebatik yang mahu perubahan terutama dalam aspek perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti.

“Insya-Allah, jika diberi mandat, langkah penyelesaian jangka pendek akan diambil termasuk membuka semula klinik desa sebelum perancangan lebih besar dibuat,” katanya.

Beliau ditemui selepas lawatan dan kempen di Kampung Wallacebay dan Kampung Mentadak, Pulau Sebatik, hari ini.

Pada lawatan itu, beliau menyampaikan pelitup muka kepada guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Wallacebay dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallacebay.

DUN Sebatik yang terletak di Parlimen Kalabakan, mempunyai 10,131 pemilih berdaftar.

Kerusi Sebatik disandang Datuk Abdul Muis Picho selama tiga penggal sejak 2008 atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Umno sebelum berhijrah ke Parti Warisan Sabah selepas mempertahankan kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini Abdul Muis bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru. – Malaysiapost