Tiga ditahan terlibat lumba haram babit pertaruhan RM15,000

0
2

POLIS menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti menguji kelajuan motosikal, didakwa melibatkan pertaruhan bernilai RM15,000 seperti tular di media sosial.

Ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 24 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak.

Menurut JSPT Perak menerusi hantaran di Facebooknya, kegiatan lumba haram itu tular setelah dalam rakaman video dimuat naik di laman story Instagram pemilik akaun ‘shafarul.arysad @cu.ebundle’ sejak 16 November lalu.

Dipercayai lokasi perlumbaan adalah di Lebuh Raya Persisir Pantai Barat (WCE) susur keluar Setiawan.

“Perlumbaan melibatkan dua motosikal dalam keadaan menduga kelajuan sambil aksi ‘superman’ dengan wang pertaruhan bernilai RM15,000.

“Ia melibatkan kumpulan ‘Am ulala’ & ‘Kecik Super’ di mana aksi tersebut merbahaya pada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Susulan itu JSPT Perak memaklumkan satu laporan polis dibuat terhadap rakaman video tular tersebut.

“Bertindak atas maklumat, Skuad 42 JSPT IPK Perak telah mengesan kedua-dua kumpulan tersebut dan menahan tiga lelaki di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here