PCS bagaikan Manchester City dan Chelsea

0
3

PENGANALISIS politik melihat Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman umpama Manchester City atau Chelsea.

Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, apabila PCS diambil alih pemimpin baharu, nama Anifah melonjak mendadak, sama seperti kedua-dua pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang bangkit selepas mendapat pemilik baharu.

Malah, katanya, Anifah yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, juga berpotensi menjadi ketua menteri jika mempunyai jumlah kerusi signifikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Katanya, tiada sesiapa di Sabah menjangka berlaku PRN dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan seminggu selepas Anifah mengambil alih PCS.

“Mereka (PCS) sepatutnya ada dua tahun untuk menyusun parti, tetapi tiba-tiba semua berlaku secara mengejut.

“Dalam satu lagi konteks ialah apabila keadaan dua blok terbesar bersaing iaitu Warisan (Parti Warisan Sabah) Plus dan PN (Perikatan Nasional) serta Barisan Nasional (BN) terikat pada jumlah kerusi lebih kurang sama seperti BN-Warisan pada PRU-14.

“Ini menyebabkan parti seperti Star (Parti Solidariti Tanah Airku) yang mempunyai dua kerusi menjadi sangat signifikan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Kuok Tiung berkata, dua calon daripada Umno berpotensi menjadi ketua menteri ialah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya, calon daripada Bersatu pula adalah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Tiada guna cerita mengenai siapakah bakal ketua menteri sekarang sebab keutamaan haruslah fokus kepada memenangi pilihan raya. Ia boleh jadi siapa-siapa sebenarnya.

“Di pihak Warisan, kita tahu, sudah pastinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tetapi dalam PN dan BN, peluangnya masih terbuka kepada beberapa nama yang disenarai pendek,” katanya.

Ditanya sekiranya pertembungan PN, BN dan PBS di beberapa kerusi akan memberi kelebihan kepada Warisan Plus atau parti lain di Sabah terhadap keputusan PRN, Kuok Tiung berkata, ia sukar dijangka kerana terlalu banyak parti bertanding pada PRN itu.

“Sekarang semua jenis keputusan adalah kejutan. Jika kerajaan negeri Warisan Plus mampu mengekalkan kuasa mereka, itu merupakan suatu kejutan.

“Jika PN-BN dapat merampas balik, itu juga suatu kejutan dan jika parti-parti lain seperti PCS atau LDP (Parti Liberal Demokratik) atau Gagasan (Gagasan Rakyat Sabah) yang memperolehi keputusan mencuri tumpuan, itu juga satu kejutan,” katanya. – Malaysiapost