TINDAKAN seorang kanak-kanak perempuan merakam video sedang menunggang motosikal tanpa memakai helmet dan tiada lesen memandu tiga tahun lalu, mengundang padah selepas disaman hari ini.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, turut disaman bapa kanak-kanak tersebut yang juga pemilik sebuah bengkel di Sijangkang, Banting Selangor.

“Hasil soal siasat mendapati kejadian berlaku pada 2018 dan dirakam di jalan utama hadapan rumah beliau, selain mengesahkan dua motosikal tersebut sedang dibaiki. Tujuan dia (kanak-kanak) membuat rakaman tersebut sekadar suka-suka untuk simpanannya serta pelanggan. Dia juga tidak mengetahui
bagaimana video tersebut boleh tersebar.
“Berdasarkan rakaman video tersebut, didapati berlaku beberapa kesalahan trafik iaitu menunggang motosikal tanpa memiliki lesen, tidak memakai topi keledar dan tiada cermin sisi.

“Ibu bapa, penjaga juga telah membenarkan kanak-kanak bawah umur menunggang motosikal dan tindakan begini membahaya serta merisikokan anak mereka dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bakri menasihatkan ibu bapa dan penjaga sentiasa memantau kelakuan anak-anak di bawah umur agar tidak memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen memandu.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, ibu bapa boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak-Kanak 2001, selain Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular video berdurasi 43 saat yang dimuat naik di Facebook ‘Arena Motor’ memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menungang dua motosikal berkuasa tinggi tanpa memakai helmet. – Malaysiapost

