Sani Express ambil tindakan pemandu tidak berhenti solat subuh

0
2

SYARIKAT pengangkutan bas, Sani Express Sdn Bhd (Sani Express) mengambil tindakan menghentikan sementara tugasan pemandunya yang dikatakan tidak berhenti rehat untuk solat Subuh.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku ketika bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Jertih, Besut, Terengganu pada Sabtu lalu.

Sani Express dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu kerana aktiviti berhenti rehat, di samping solat adalah prosedur wajib bagi semua pemandu.

Sehubungan itu, katanya, siasatan dalaman akan dijalankan terhadap pemandu itu termasuk bakal dikenakan tindakan disiplin, amaran, kaunseling atau latihan semula selaras dengan prosedur syarikat.

“Pihak syarikat kesal dengan apa yang berlaku kerana solat lima waktu adalah perkara wajib yang harus ditunaikan umat Islam.

“Kami memohon maaf dan berjanji perkara sedemikian tidak berulang lagi,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Baru-baru ini, tular di media sosial perkongsian seorang pengguna Facebook menerusi akaun Muhammad Safwan yang kecewa dengan sikap pemandu bas Sani Express kerana enggan menghentikan kenderaan bagi membolehkan penumpang menunaikan solat Subuh.

Katanya, pemandu itu turut meninggalkan penumpang yang pergi ke tandas ketika bas itu berhenti di Setiu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here