Adun PN nak sertai kerajaan Melaka, mana datang cerita ni? – Wan Saiful

0
2

PIMPINAN tertinggi Perikatan Nasional (PN) tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) gabungan itu di Melaka.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang melahirkan rasa hairan bagaimana cerita kononnya Adun PN mahu menyertai kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka ditimbulkan.

“Entah mana datang cerita mengenai Adun PN mahu menyertai kerajaan negeri Melaka.

“Sebaliknya kita akan mengkaji keputusan PRN Melaka, terutama jumlah sokongan yang kelihatan meningkat kepada kita di banyak kawasan.

“Dan kita akan rangka strategi untuk membolehkan kita memperkukuh parti di atas tapak yang telah terbina,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata PN juga akan menjadikan PRN Melaka sebagai batu loncatan untuk mengorak langkah mara ke hadapan.

Terdahulu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata tiada keperluan untuk melantik dua Adun PN sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Timbalan Presiden Umno berkata, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua Adun berkenaan sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

Sebelum itu Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kedudukan dua Adun PN dalam barisan Exco belum diputuskan.

Sulaiman berkata, perkara itu perlu melalui perbincangan bersama pucuk pimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here