Aiman Hanif
DATUK Kamarudin Sidek digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri kerana tidak bersetuju dengan penyertaan parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut sumber parti itu, Kamarudin sejak awal lagi menolak penyertaan PAS bersama PN dalam PRN Melaka yang berlangsung Sabtu lalu.
“Pesuruhjaya PAS Melaka sebelum ini digugurkan kerana PAS Melaka rupanya tak setuju tanding menggunakan tiket PN.
“Ustaz Kamarudin adalah calon PAS dalam PRN Melaka dan undi pada PAS juga meningkat dalam PRN Melaka.
“Mengapa dia disingkirkan daripada jawatan itu, kerana PAS Melaka tak setuju pada asasnya untuk bertanding guna logo PN,” katanya kepada Malaysiapost.
PRN Melaka yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan BN menang besar apabila berjaya meraih 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
PAS yang bertanding di lapan kerusi dengan menggunakan logo PN gagal memenangi sebarang kerusi.
Bahkan tujuh daripada lapan kerusi yang ditandingi PAS menyaksikan calon parti itu hilang wang pertaruhan.
Bagaimanapun memetik laporan Astro Awani, Kamarudin berkata pertukaran itu tiada kaitan dengan kekalahannya di kerusi DUN Duyong pada PRN lalu.
“Itu satu pertukaran biasa sahaja kerana jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri biasanya hanya tiga penggal dan saya sudah cukup tempoh itu.
“(Jadi) tiada kena mengena dengan PRN kerana jawatan itu boleh dilantik semula selepas ‘rehat’ satu penggal dan saya masih kekal Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin,” lapor Astro Awani.
Kamarudin digantikan dengan Ketua Dewan Ulama PAS Melaka, Zulkifli Ismail.
Terdahulu, berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, hanya Kamarudin tidak dikekalkan bagi sesi 2021-2023 manakala 13 lagi Pesuruhjaya Negeri masih penyandang yang sama.- Malaysiapost

