Desak Anwar undur, PKR Pahang label Adun Bilut dangkal, pemikiran cetek

0
2
anwar ibrahim

MAJLIS Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang memandang serius kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut dari DAP, Lee Chin Chen yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Menerusi kenyataan hari ini, MPN PKR Pahang berkata kenyataan tersebut menjurus kepada serangan secara langsung kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR.

Ia juga menyifatkan kenyataan Chin Chen yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sebagai dangkal, apa lagi memberi alasan kononnya untuk menentang konservatif agama serta mempertahankan politik sekularisme.

“Pihak MPN Keadilan Pahang tidak berminat untuk menjawab kenyataan pra-matang Adun Bilut kerana menonjolkan tahap pemikiran politik beliau yang cetek dan tidak setara dengan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Pahang.

“Ugutan beliau dengan menyarankan kepimpinan DAP keluar dari PH jika Anwar tidak melepaskan jawatan adalah tindakan tidak beradab dan langsung tidak menghormati rakan-rakan sekutu dalam PH.

“Hanya Majlis Presiden PH yang berhak menentukan kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH, bukannya oleh pihak lain mahupun seorang Adun,” kata kenyataan itu.

Semalam Chin Chen dilaporkan menggesa Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang ekoran kekalahan teruk PH pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Setiausaha DAP Pahang itu berkata, Anwar perlu berundur supaya PH dapat meneroka hala tuju dan konsensus baharu serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu secepat mungkin.

Namun katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here