
GERAKAN tidak mungkin kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) walaupun pakatan politik itu menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata Gerakan memilih keluar BN tiga tahun lalu kerana gagal melihat peranan yang boleh dimainkannya dalam gabungan berkenaan, lapor Malaysia Gazette.
Katanya, walaupun Gerakan pulang dengan tangan kosong sementara BN menang dua pertiga di Melaka, orang ramai akan melihat prinsip Gerakan dalam memperjuangkan integriti suatu hari nanti.
Dominic berkata, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Gerakan mempunyai hala tuju jelas kerana manifesto dibuat berdasarkan perbincangan semua parti.
“Sekurang-kurangnya suara Gerakan telah didengar, tetapi kami gagal menyampaikan mesej kepada pengundi dalam masa terlalu singkat ketika menyertai PRN Melaka,” katanya kepada China Press.
Menurut Dominic, antara cabaran Gerakan dan PN adalah sesetengah pengundi tidak dapat membezakan antara BN dan PN.
Sehubungan itu beliau berkata, Gerakan akan melakukan mesyuarat post mortem untuk mengenal pasti kelemahan yang ada.
Pada PRN Melaka Sabtu lalu, PN yang bertanding semua 28 kerusi hanya menang dua kerusi, manakala Gerakan gagal menang semua lima kerusi ditandinginya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Parti Gerakan Rakyat Malaysia
