[PARLIMEN] Kementerian Luar tidak akan menghalang dua pegawai lantikannya iaitu Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof menghadiri aktiviti politik.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kedua-duanya adalah pegawai yang dilantik, maka terserah kepada mereka sekiranya ingin menghadiri aktiviti politik.
“Jadi terserah kepada mereka sekiranya ingin menghadiri aktiviti politik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Idham adalah Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar, Eizlan pula Perunding Kreatif di kementerian tersebut.
Saifuddin menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berhubung penglibatan Ahmad Idham dan Eizlan dalam satu majlis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
Sementara itu Fahmi dalam satu hantaran di Facebooknya berkata beliau pagi tadi membangkitkan soalan berhubung pelantikan Ahmad Idham dan Eizlan sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Perunding Kreatif Kementerian Luar Negeri, terutama implikasi kewangan.
Fahmi berkata Saifuddin menjelaskan Ahmad Idham dijadikan Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) dengan gred 54, manakala Eizlan tidak dibayar gaji.
“Tapi banyak persoalan berbangkit, termasuk bagaimana mereka akan uruskan pertindihan tugas dan tanggungjawab (atau TOR) antara Kementerian Luar Negeri; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Soalan ini tidak dijawab…,” katanya. – Malaysiapost

