Polis Perlis tebang pokok ketum di Felda

0
3

POLIS Perlis akan menjalankan operasi menebang pokok ketum di kawasan Felda di negeri itu bermula minggu depan, kata Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Beliau berkata ia dilakukan mengikut Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 yang dikhususkan kepada entiti Felda, walaupun tiada akta khusus membenarkan penebangan pokok ketum dibuat sebelum ini.

Surina berkata, menerusi akta itu, pihaknya akan dibantu pengurusan Felda di peringkat wilayah serta Pejabat Tanah dan Galian bagi memastikan tiada tanaman ketum ditanam di atas tanah milik kerajaan.

“Penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut kuasa GSA terbabit yang memperuntukkan perjanjian tanah antara peneroka bersama Felda dan kerajaan negeri.

“Kita akan bertemu penduduk di tiga kawasan tanah rancangan Felda iaitu Felda Mata Ayer, Rimba Emas dan Chuping khususnya bagi menerangkan perkara ini,” katanya seperti dilapor BH.

Mengulas lanjut, Surina berkata, ratusan pokok ketum ditemui pihaknya yang didapati ditanam oleh peneroka Felda di negeri itu.

“Kita tidak mahu disebabkan ketum, nama baik Felda tercemar seterusnya menggalakkan lagi aktiviti tidak sihat dalam kalangan generasi muda dalam kawasan itu.

“Sebab itu kita jadikan Ketua Polis Daerah Padang Besar sebagai ‘bapa angkat’ kepada tiga tanah rancangan Felda di negeri ini agar mereka boleh salurkan maklumat tanpa perlu rasa takut,” katanya. – Malaysiapost