Kebinet tentukan bila PRU, bukan Umno – Takiyuddin

0
2

TARIKH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya, akan ditentukan oleh Kebinet, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PAS itu berkata keputusan tersebut bukan ditentukan oleh mana-mana parti politik.

“Yang menentukan PRU adalah Kabinet, bukannya parti tertentu. Malah, Kabinet terdiri daripada pelbagai parti.

“Maka, biarlah Perdana Menteri yang menentukan tarikh PRU,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta PRU diadakan dalam masa terdekat, susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Sementara itu Takiyuddin berkata PAS terbuka menerima kekalahan parti itu yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, sebaliknya menganggap ia satu proses demokrasi.

“Pilihan raya adalah proses memilih dan apabila mereka dipilih oleh rakyat, tanggungjawab kerajaan menjaga seluruh rakyat negeri itu,” katanya.

Sementara itu Takiyuddin mengingatkan semua pihak bahawa kerajaan Pusat ketika ini dibentuk hasil gabungan pelbagai parti.

Katanya walaupun BN memenangi PRN Melaka, ia hanya dalam konteks negeri itu manakala di peringkat Persekutuan, kerajaan dibentuk oleh pelbagai parti.

“Jangan lupa kerajaan diterajui BN juga dianggotai oleh PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Itu perlu ingat, sikit mahu ingat dan kita sama-sama menjaga, membantu kerajaan Melaka yang baharu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here