SEORANG lelaki dipercayai terbabit kes samun seorang wanita di lorong Kampung Ana, Chubang empat, Tumpat, Kelantan, yang tular di media sosial berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Rashid Mat Daud berkata, rakaman berdurasi 21 saat yang telah dimuat naik di halaman media sosial Facebook memaparkan sebuah motorsikal yang dinaiki oleh dua orang lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan samun tanpa senjat api.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 20 November 2021, jam 3.00 petang di kawasan terbabit.
“Semasa kejadian berlaku, mangsa, seorang wanita berumur 43 tahun telah melalui sebuah lorong dan secara tiba-tiba didatangi oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali dari arah belakang dan bertindak menghalang laluan motosikal mangsa.
“Salah seorang suspek iaitu pembonceng motosikal tersebut menghampiri mangsa dan mengeluarkan sebilah pisau dan telah menunjukkan ke arah mangsa.
“Suspek kemudian menarik seutas gelang tangan emas yang dipakai oleh mangsa dan seterusnya melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama seorang lagi suspek yang telah sedia menunggu di atas motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Rashid berkata, mangsa mengalami kerugian lebih kurang sebanyak RM7,000 dan satu laporan polis telah diterima berkaitan kes berkenaan.
Katanya, rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) telah diperoleh daripada sebuah rumah di sekitar lokasi kejadian.
“Bertindak atas hasil maklumat risikan yang dijalankan, Sepasukan Pegawai dan Anggota daripada ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dibantu oleh Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan telah berjaya menangkap seorang saspek yang dipercayai terlibat kes ini.
“Selain itu, pakaian dan kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian juga telah dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau suspek didapati mempunyai 17 rekod jenayah lampau yang melibatkan kes jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing juga telah dijalankan dan didapati saspek positif dadah jenis Amphetamine,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan permohonan reman ke atas suspek telah diluluskan selama enam hari iaitu sehingga 26 November 2021 untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Dan pihak polis juga masih mengesan seorang lagi saspek yang masih bebas dan dipercayai turut terlibat dalam kes ini,” katanya. – Malaysiapost

