PRN Melaka: Zahid, Rauf dikompaun RM10,000

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dikompaun RM10,000 seorang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut KKM dalam satu kenyataan, kedua-dua individu terbabit didakwa menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

KKM berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas pihaknya menjalankan siasatan melalui video tular di media sosial dan mendapati telah berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka oleh kedua-dua individu tersebut pada 19 November 2021 di kawasan Masjid Tanah.

“Kompaun yang dikeluarkan berkenaan bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November lalu sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya, ini bagi memastikan pilihan raya ini dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“Justeru KKM akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.

“KKM juga menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,”katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here