AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti semula jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa terlalu padat.
Syed Saddiq berkata, beliau melihat jadual SPM yang dikeluarkan KPM dari 7 Mac sehingga 11 Mac sangat ‘sesak’ kerana ia melibatkan subjek teras yang ‘back to back’.
“Saya berharap KPM mempertimbangkan untuk menjadualkan semula jadual peperiksaan SPM. Peti ‘inbox’ saya dibanjiri pelajar SPM yang merungut kerana jadual SPM terlalu padat,” katanya menerusi Facebook.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, SPM adalah peperiksaan yang sangat penting untuk pelajar-pelajar di Malaysia.
“Keputusan mereka akan menentukan perjalanan seterusnya ke institusi yang lebih tinggi.
“Bila subjek teras ini ‘back to back’, pelajar akan stress sebab tak sempat nak buat ulangkaji. Dah banyak pelajar yang stress sampai ada yang bunuh diri.
“Saya juga diberitahu bahawa SPM tahun ini menggunakan silibus KSSM yang baru dan mereka tak dapat ulangkaji ‘past year papers’.
“Ditambah pula dengan lockdown dan PdPR, pembelajaran telah terkesan akibat tiada peranti dan rangkaian internet untuk belajar,” katanya.
Justeru, Syed Saddiq menggesa KPM memberikan calon SPM sedikit jarak masa untuk menduduki kertas teras berkenaan.
“Saya mohon KPM untuk meneliti semula jadual peperiksaan SPM. Ini sahaja peluang yang mereka ada sebelum melangkah ke fasa kehidupan seterusnya,” katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sudah membuat permohonan kepada KPM untuk membuat perubahan pada jadual SPM 2021. – Malaysiapost

