Kebajikan, kemajuan ekonomi Melaka agenda utama – PM

0
3

KEBAJIKAN dan kemajuan ekonomi Melaka akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan dibentuk di negeri itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia di Melaka kerana memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan baharu di negeri berkenaan.

“Terima kasih buat Keluarga Malaysia di Melaka kerana memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan baharu.

“Insya-Allah kebajikan dan kemajuan ekonomi negeri Melaka pastinya akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin parti komponen BN.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh jentera parti yang menggembleng tenaga membantu memenangkan BN di Melaka.

“Penghargaan juga buat mantan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.

“Inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana kita semua menuju ke destinasi yang sama – membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar ini,” katanya.

Semalam, BN mencatat kemenangan besar dalam PRN Melaka sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu yang lebih kukuh.

BN yang bertanding solo, memenangi 21 daripada 28 keseluruhan kerusi DUN dipertandingkan.

Daripada 21 kerusi dimenangi BN, 18 adalah daripada Umno, MCA dua kerusi manakala MIC memenangi kerusi tunggal mereka di DUN Gadek. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here