Sulaiman umum barisan Exco Melaka minggu depan

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=478964530462602&set=pb.100050471770811.-2207520000..&type=3

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, senarai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri bagi membantu pentadbirannya akan diumumkan minggu depan.

Sulaiman berkata, beliau akan meneliti perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membincangkannya dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

“Insya-Allah saya akan memaklumkan perkara ini juga selepas saya mengambil kira segala aspek, kebolehan, begitu juga pengalaman (Exco) bagi setiap portfolio yang akan saya lantik nanti berlandaskan kepada mereka yang telah memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dan sudah pasti selepas itu, saya akan maklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk berbincang dengan beliau. Insya-Allah bagi saya sedikit masa lagi, dalam masa terdekat, ia kemungkinan minggud depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Mohd Ali di Dewan Seri Utama awal pagi ini.

Sementara itu, ditanya mengapa Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13 dilaksanakan awal pagi tadi, Sulaiman berkata, beliau kesuntukan masa kerana perlu menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Selasa ini.

Katanya, beliau perlu perbincangan yang mendalam dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebagai persediaan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang turut dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Katanya, situasi itu memaksa majlis angkat sumpah diadakan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pukul 1 petang hari ini.

“Jadi masa yang agak suntuk, memandangkan esok Ahad dan banyak perkara yang perlu saya bincangkan bersama Tuan Yang Terutama Tun (Mohd Ali).

“Selain itu banyak yang perlu dipersiapkan. Jadi mahu atau tidak kita kena juga angkat sumpah pada malam ini,” katanya.

Malam tadi, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu,mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri, malam tadi.

Majlis angkat sumpah Ketua Menteri berlangsung di hadapan Tun Mohd Ali di Pejabat TYT jam 12.58 tengah malam tadi dan dilangsungkan secara tertutup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here