PENYANYI Anak Kampung, Jimmy Palikat yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, akan memulakan kempen mendekati pengundi bermula esok atau lusa.
Ketika dihubungi Malaysiapost, pemuda berasal dari Kampung Papar, Tambunan itu, berkata beliau belum dapat memulakan kempen kerana masih berpantang berikutan kematian bapanya, Khamis lalu.
Jimmy berkata, sebagai menghormati pemergian bapa selain masih bersedih, beliau menangguhkan aktiviti kempen sehingga tempoh berpantang tujuh hari selesai.
“Bapa saya meninggal dunia petang Khamis lalu. Pada pagi itu saya sudah membayar wang deposit untuk menjadi calon dan memandangkan ia sudah dibayar, maka saya teruskan juga bertanding.
“Jadi, pada hari penamaan calon Sabtu lalu, saya pergi ke pusat penamaan calon sehingga semua proses selesai sebelum bergegas pulang untuk pengebumian jenazah bapa saya.
“Selepas itu saya terpaksa berpantang dan hari ini tamatlah tempoh tujuh hari itu. Mungkin dua tiga hari ini barulah saya mulak aktiviti kempen sekitar Tambunan,” katanya.
Jimmy berkata, walaupun masih bersedih beliau masih bersemangat untuk meneruskan kempen untuk menawan hati pengundi Tambunan agar memberi peluang kepada golongan muda mewakili mereka di DUN.
Beliau akan menggunakan pendekatan mendekati pengguna ketika berkempen nanti kerana ia dilihat lebih berkesan berbanding menunggu pengundi datang dengan menganjurkan sesuatu perjumpaan.
“Saya sudah sediakan bahan-bahan cetakan untuk diedar kepada pengundi, hanya menunggu untuk disampaikan saja apabila berkempen nanti. Saya akan dibantu ahli keluarga yang menyokong usaha saya ini.
“Kalau diikutkan, perasaan sedih itu memang masih ada tapi apa boleh buat, yang pergi itu biarlah, itu sudah ketentuan dan kita yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan.
“Lagipun saya memang sudah bertekad untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai permulaan untuk memberi khidmat kepada rakyat Tambunan dalam menyelesaikan segala masalah dan membangunkan lagi daerah ini,” katanya.
Ditanya sama ada beliau turut menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkempen, Jimmy berkata beliau tidak mempercayai medium kempen itu memandangkan ia sering disalah guna pihak tertentu yang hanya mahu memburukkan dirinya.
“Kebanyakan yang lihat Facebook sebenarnya orang luar, bukan pengundi di Tambunan sendiri. Mereka (netizen) hanya tahu mengutuk dan memburukkan kita tanpa mengambil tahu hal yang sebenar.
“Jadi, lebih baik lagi saya kempen guna cara biasa, berjumpa terus dengan pengundi, mencari mereka di rumah dan di mana-mana saja kerana itu lebih mudah bagi saya menerangkan kenapa saya bertanding dan kenapa perlu undi saya,” katanya.
Beliau berkeyakinan, dengan sokongan rakan dan ahli keluarga yang membantu sepanjang kempen nanti, rakyat Tambunan akan membuat pilihan tepat dengan mengundi orang baharu sebagai wakil di DUN nanti.
Pada PRN 26 September ini, Jimmy yang menggunakan lambang pokok berdepan saingan enam penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Silverius Bruno (PBS), Datuk Laurentius Ambu (Upko), Damian Marcus Podtung (PCS) dan Nordin Jaini (Parti Gagasan Rakyat Sabah). – MalaysiaPost

