SELEPAS ‘hilang’ kerana tidak bertanding, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, membuat kejutan apabila muncul pada majlis dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Beaufort, pagi ini.
Musa yang berpakaian batik dengan corak daun berwarna hitam dan berlatar belakang putih, kelihatan duduk di kerusi sambil memegang tongkat di Dataran Bergandang, Beaufort.
Muhyiddin hadir ke Beaufort sempena program Perdana Menteri Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah yang turut dihadiri calon Perikatan Nasional (PN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih selaku Ketua Bahagian Bersatu Beaufort.
Musa bagaimanapun enggan ditemuramah ketika didekati wartawan dan hanya tersenyum sambil menyatakan beliau sihat ketika ditanya khabar.
Kehadiran beliau mencuri tumpuan bukan saja dalam kalangan wartawan, malah orang ramai yang hadir majlis itu.
Beliau tiba di Dataran Bergandang pada jam 9.10 pagi, diiringi Isnin dan beliau juga sempat beramah mesra dengan beberapa pemimpin termasuk Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.
Musa sering ke Beaufort terutama untuk melawat Rumah Anak Yatim Al-Aman di Kampung Bingkul, kerana beliau berasal dari daerah itu dan pernah bersekolah di sana.
Musa tidak bertanding pada PRN kali ini meskipun pada awalnya timbul spekulasi mungkin bertanding di kerusi DUN Sungai Manila berdasarkan satu hantaran di Facebook yang menyatakan beliau pulang ke Sungai Manila. – Malaysiapost

