DI SEBALIK dakwaan Tun Mohd Khalil Yaakob menyokong Pakatan Harapan (PH), bekas Yang di-Pertua Melaka itu muncul bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Pada pertemuan yang berlaku secara kebetulan itu, Mohd Khalil menjelaskan dakwaan kononnya beliau condong menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRN kali ini.
“Ini intereptasi terpulang kepada sesiapa lah, saya selalu bercerita…. Masa saya menjadi Gabenor saya diberikan berkhidmat oleh empat Ketua Menteri
“Diorang tanyalah, daripada empat ni mana yang baik… nak ulas macam mana kalau ditanya masa saya jadi Gabenor, lepas pelantikan Ketua Menteri, Leman (Datuk Seri Sulaiman Md Ali), dari segi saya melihat daripada atas, dia mempunyai personaliti yang baik. Tak boleh lawan personaliti dia,” katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Mohd Khalil menjadi bahan kempen PH apabila gambar serta video beliau beramah mesra menemui pemimpin gabungan itu tersebar di media sosial.
Malah, terdapat video yang memaparkan beliau memuji personaliti bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.
Mengulas mengenainya, Mohd Khalil menjelaskan, beliau telah ditanya dalam pertemuan itu mengenai perbezaan empat Ketua Menteri yang dilantik ketika menjadi Yang di-Pertua Melaka.
“Saya tak berkesempatanlah berjumpa dia (Sulaiman) dan EXCO lebih banyak kerana saya dah habis (bersara). Jadi yang lain-lain pun saya beri pandangan mengikut pandangan saya daripada atas lah.
“Empat Ketua Menteri ini mempunyai personaliti, karekter yang berbeza. Jadi kalau kena tanya satu saya kena jawab satu lah, tanya pasal Adly saya describe lah Adly ni intelektual dan kalau suruh saya decribe Datuk Seri Sulaiman, saya nampak dia ni very hardworking,” katanya.
Mohd Khalil menambah, selaku pengundi di Melaka, beliau turun padang kerana perlu mendapatkan maklumat mengenai senario politik yang berlaku di negeri itu.
“Ini adalah kali ketiga saya mengundi di Melaka ni. Maknanya, saya surveylah tengok, apa suasana, apa trend sokongan.
“Ini saya nak mengundi kali ketiga saya pun baca juga, baca personaliti yang bertanding, keadaan politik bagaimana, takkan lah saya nak pergi mengundi saya tutup mata saya buat macam tu,” katanya.
Apabila ditanya adakah Barisan Nasional (BN) perlu diberikan mandat sebagai kerajaan memerintah di Melaka, bekas Setiausaha Agung Umno berkias dalam memberi kenyataannya.
“Dah tentu sebagai bekas Setiausaha Agung, mana-mana parti dah tentu mengharapkan kerajaan yang stabil dan menenangkan taufan. Insyallah.
“Saya sendiri pun dengan harapan lepas ini kita mendapat kerajaan yang stabil. Stabil ni kena lama lah sedikit,” katanya.
Esok adalah hari mengundi PRN Melaka, BN mempertaruhkan 20 calon daripada Umno, tujuh daripada MCA dan satu daripada MIC dengan manifesto bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’. – Malaysiapost

