RAMAI berpendapat niat gabungan tertentu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukanlah untuk menang, sebaliknya memastikan Barisan Nasional (BN) kecundang, kata Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, gabungan itu mahu melihat BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dengan memecahkan undi parti itu pada PRN kali ini.
“Sebab itu, mereka tiada rancangan atau pelan yang nyata untuk memulihkan atau memajukan Melaka.
“Manifesto gabungan tertentu ini juga suam-suam kuku. Ramai pun tak tahu apa sebenarnya terkandung atau dijamin dalam Manifesto mereka. Tak apa lah. Masing-masing ada strategi mereka,” katanya menerusi Facebook.
Dalam hantaran sama, Najib menyelar kenyataan calon Ketua Menteri Melaka dari PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengakui belum ada strategi dan rancangan untuk membangunkan Melaka.
“Jentera parti lain yang digunakan tapi calon Ketua Menteri PN pulak ialah antara individu paling awal yang melompat dari Umno selepas PRU14?
“Tapi dia juga mengaku belum ada strategi dan rancangan untuk bangunkan Melaka. Ada ke orang yang berniat untuk menjadi Ketua Menteri sebuah negeri tiada rancangan untuk bangunkan negeri itu?,” soalnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau berharap pemilih tidak melakukan pecah undi di Melaka demi membentuk sebuah kerajaan negeri berpengalaman dengan majoriti yang kukuh.
“Warga Melaka amat perlu dan berhak untuk mendapat satu kerajaan yang kukuh sebab kestabilan membawa kemakmuran.
“Jangan diulangi peristiwa tukar kerajaan setiap dua tahun sebab ini merugikan Melaka yang ekonominya sudah lembab. sejak PRU14,” katanya.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu menang dalam PRN Melaka. – Malaysiapost

