Dr Khairuddin masuk hospital, beberapa program tangguh

0
3

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dimasukkan ke hospital hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan telah membuat pemeriksaan kesihatan minggu lepas dan diminta untuk berehat selama seminggu.

“Alhamdulillah. Sihat dan sakit adalah sunnah kehidupan. Pertama kali berpengalaman masuk wad sebagai pesakit hari ini. Esok hanya prosedur kecil sahaja.

“Harapnya sehari dua, mudah-mudahan sudah boleh keluar. Minggu lepas selepas pemeriksaan, Dr (doktor) minta berehat seminggu, namun tugasan yang banyak tidak mengizinkan untuk rehat sepenuhnya,” tulisnya.

Dr Mohd Khairuddin terpaksa menangguhkan beberapa program yang telah dirancang termasuk di Sabah dan Miri, Sarawak pada hujung bulan ini.

“Moga sempat kembali sihat. Doakan saya untuk terus sihat.

“Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib sebaik pulang dari Turki.

Beliau melanggar kuarantin itu selepas pulang daripada lawatan di negara berkenaan pada 3 hingga 7 Julai lalu, sebelum menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen 13 Julai lalu. – Malaysiapost