PKR mempersoalkan percanggahan kenyataan antara Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung permohonan rumah dan tanah yang didakwa bernilai RM100 juta.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata Najib menerusi hantaran Facebook menyebut permohonan itu dibuat pada 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada masa sama katanya Tengku Zafrul dalam jawapan di Dewan Rakyat semalam menyebut dengan jelas “permohonan ini (dibuat) selepas Bajet dibentangkan”.
“Hal ini wajib dijelaskan segera. Najib Razak betul ke Tengku Zafrul betul?
“Kalau betul permohonan ini dibuat pada 2018, Dr Mahathir Mohamad patut sahkan, dan bagi penjelasan kenapa Kabinet tidak luluskan.
“Tapi kalau ya pun permohonan Najib dibuat selepas Bajet 2022 dibentang, seperti isu kereta “Vellfire” yang tak diluluskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, Kerajaan ’Keluarga Malaysia’ ini pun tak payah lah luluskan permohonan RM100 juta ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata permohonan tersebut adalah ‘kerja gila’ kerana rumah dan tanah di Kuala Lumpur sangat bernilai, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang menderita.
Sehubungan itu katanya, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PH akan mengkaji semula segala bentuk persefahaman jika permohonan itu diteruskan amat tepat.
Semalam Anwar berkata pembangkang akan mengkaji semula memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan susulan pendedahan mengenai kelulusan permohonan Najib untuk mendapatkan tanah dan rumah dianggar bernilai RM100 juta.
Anwar berkata perkara yang disahkan oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat bahawa Kabinet sebulat suara telah menerima permohonan itu sangat mengejutkan. – Malaysiapost

