‘Kena berpada-pada kerana esok keadaannya mungkin berbeza’ – Annuar Musa

0
2

BARISAN Nasional (BN) menampilkan strategi berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui cara yang cukup sederhana dengan menjaga tatsusila dan kesopanan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa, berkata BN berkempen dengan memberi tumpuan untuk memberitahu keupayaan dan kebaikan parti yang berpengalaman itu serta tidak menyerang atau melakukan tindakan provokasi terhadap pihak lain.

“Apatah lagi BN sekarang adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang mana ada juga rakan yang sama dalam kerajaan itu meletakkan calon di kawasan sama yang dilihat sebagai perlawanan persahabatan.

“Kita juga tahu politik sekarang ini ialah tiada musuh dan rakan tetap, jadi kita kena lihat senario selepas pilihan raya.

“Kalau kita ambil pendekatan yang keras kita belum tahu lagi apa yang terjadi selepas 20 November ini, selepas hari mengundi mungkin perlu membentuk pakatan tertentu,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebooknya, malam ini.

Menurutnya, walaupun BN mengharapkan cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan BN Melaka, tetapi tidak boleh menafikan kemungkinan yang akan berlaku dimana tiada mana-mana gabungan mempunyai cukup bilangan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Sebab itu kena berpada-pada kerana esok keadaannya mungkin berbeza,” katanya ketika ditanya mengenai strategi BN dalam berkempen di PRN Melaka terutama dalam memenangi hati pengundi atas pagar.

Beliau berkata, situasi politik negara sekarang juga sudah berbeza dimana berada di suatu transisi apabila parti berpecah menjadi banyak parti dan sekarang parti-parti itu semua masuk membawa calon masing-masing.

“Pada masa sama terdapat pula kebebasan dalam mengamalkan politik dimana ada pihak boleh masuk sebagai calon bebas.

“Ini menjadikan jumlah calon yang agak ramai bagi 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) jumlah calon adalah lebih 100 ertinya tidak kurang daripada empat calon di satu-satu kerusi.

“Dari sudut amalan demokrasi ini bagus biar ada banyak pilihan kalau dulu pertembungan satu lawan satu sekarang tidak lagi minimum tiga penjuru,” katanya.

Anuar berkata, suasana itu menjadi petanda amalan Demokrasi Berparlimen dalam negara kita tetap subur dan rakyat diberi pilihan serta bebas memilih siapa yang terbaik untuk mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here