Dewan Rakyat kecoh, pertikai Najib mohon dana RM100 juta

0
2
dewan rakyat

SIDANG Dewan Rakyat hari ini terganggu beberapa kali apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan isu dana RM100 juta yang dipohon bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kekecohan berlaku ketika ucapan penggulungan Bajet 2022 pada peringkat dasar oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.  

Ahli Parlimen pembangkang silih berganti mencelah sehingga mengundang campur tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun yang beberapa kali terpaksa meninggikan suara untuk meredakan keadaan.

Kekecohan bermula apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) membangkitkan permohonan RM100 juta daripada Najib dan menyifatkan ia sebagai hadiah kepada banduan.

“Kami ingin tahu sumbangan beliau (Najib). Dia seorang banduan…dan kerajaan mahu balas budi.

“Wang yang dicuri diberikan semula. Inilah kerajaan baharu. Hadiah itu harus dijelaskan. RM60 juta untuk beli tanah dan RM40 juta untuk membina bangunan untuk banduan ini,” soalnya di Dewan Rakyat.

Persoalan Dr Mahathir telah disahkan Tengku Zafrul yang menjelaskan penerimaan permohonan Najib untuk mendapatkan rumah bernilai RM100 juta dan akan dimasukkan dalam bajet tambahan jika dana mencukupi.

Kenyataan itu menyebabkan perang mulut di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan pertimbangan kerajaan bagi permohonan berkenaan.

Ahli Parlimen Muar, Sepang, Jelutong, Batu Gajah, Bandar Kuching, Sepanggar dan beberapa yang lain bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perkara itu.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata permohonan itu dibuat selepas Bajet 2022 dibentangkan.

“Jika terdapat sebarang dana tambahan, ia akan ditambah bawah peruntukan tambahan,” katanya di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul berkata, permohonan itu di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebarang pertanyaan akan dijawab oleh JPM.

Azhar kemudian meminta Ahli Parlimen pembangkang tidak membangkitkan isu itu kerana berpandangan Tengku Zafrul telah menjelaskan bahawa ia tidak termasuk dalam Bajet 2022.

Malah, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer telah diarahkan keluar selama 10 minit berikutan berdegil dan masih berkeras membangkitkan perkara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here