Premis perniagaan terkenal diserbu Imigresen

0
3
{"source":"other","uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1637231435515","origin":"gallery","fte_sources":[],"used_premium_tools":false,"used_sources":"{"version":1,"sources":[]}","premium_sources":[],"is_remix":false}

SERAMAI 27 tukang jahit warga Bangladesh dan Nepal ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di beberapa premis di Shah Alam, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata operasi dijalankan pada jam 4 petang di kawasan pusat perniagaan lot premis tiga tingkat yang kelihatan seperti tiada aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi. 

Menurutnya, hasil pemantauan kesemua warga asing berkenaan memasuki premis dan terus melakukan kerja menjahit sehingga selesai waktu bekerja.

“Mereka hanya akan keluar dari premis ini setelah selesai tugas dan semasa serbuan dilakukan, warga asing ini tidak menyedari kehadiran pegawai serbuan dan tidak sempat untuk melarikan diri.

“Terdapat premis perniagaan yang agak terkenal melakukan cubaan untuk melindungi warga asing dengan menipu anggota operasi bahawa tiada warga asing yang bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengesan pengubahsuaian bangunan di premis perniagaan terkenal itu dengan membuat laluan yang terlindung. 

“Premis yang diserbu ini juga menggajikan warga asing paling ramai berbanding premis-premis lain yang diserbu.

“Maklumat awal yang diperolehi menyatakan kebanyakkan premis ini dimiliki oleh warga tempatan dan di ‘Ali Baba kan’ perniagaan tersebut kepada warga asing.

“Premis yang menggajikan tukang jahit ini menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan dari pengusaha tekstil. Tempahan biasa juga diterima tetapi hanya dari pelanggan tetap sahaja,” katanya 

Menurutnya, dalam serbuan itu secara keseluruhan seramai 58 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 27 orang berjaya ditangkap. 

“Mereka yang ditahan berumur diantara 22 hingga 45 tahun terdiri daripada 26 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal. 

“Dua notis untuk hadir memberi keterangan diberikan kepada pekerja warga tempatan bagi membantu siasatan dan mengesan pemilik premis tersebut,” katanya 

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here