Nurul Huda Abhar
KENANGAN melihat perit gerih ibu bapa membesarkan 11 anak dalam keluarga yang susah menjadi penguat semangat calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam untuk membantu golongan yang memerlukan.
Ahmad Bilal Rahudin, 38, atau lebih dikenali Ustaz Bilal berkata, semasa kecil beliau mengutip kelapa bersama adik beradik lain untuk dijadikan bahan masakan nasi lemak bagi jualan ibunya setiap pagi.
“Saya berasal dari keluarga susah. Saya lihat sendiri ayah ibu susah membesarkan kami adik beradik. Umur adik beradik kami dekat. Emak bangun 4 pagi untuk cari rezeki buat anak-anak.
“Sebab itu yang sangat terkesan dalam diri saya. Bila jumpa orang susah saya akan teringat. Itu yang membuat semangat saya kuat membantu orang yang memerlukan,” katanya dalam sebuah video di Facebook.
Ahmad Bilal yang berkelulusan Universiti Yemenia Sanaa, Yaman berkata anak muda di kawasan Serkam khususnya sangat matang dalam menghulur pertolongan dan gerak kerja bagi membantu golongan memerlukan.
Katanya, kesungguhan anak muda mengeluarkan sumbangan daripada duit poket sendiri untuk dijadikan tabungan Covid-19 ternyata membuka minda orang ramai agar saling membantu biarpun berada dalam apa jua situasi dan ideologi politik.
Sementara itu, beliau juga berharap PN menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdasarkan integriti dan kewibawaannya.
“PN dilihat bersih, berintegriti dan berwibawa. PAS ada 18 Ahli Parlimen. Goyang macam mana pun kerajaan, Ahli Parlimen PAS tidak pernah melompat.
“Ini yang ditunjukkan dalam kewibawaan Ahli-Ahli Parlimen PAS. Ini kekuatan dalam PN,” katanya.
Ahmad Bilal adalah Ketua Pemuda PN Melaka dan juga Ketua Pemuda PAS akan bertanding empat penjuru berdepan Norazlanshah Hazali (Bebas), Muhammad Khomeini Kamal (PH – Amanah) dan Datuk Zaidi Attan (BN – Umno). – Malaysiapost

