PKR menyasarkan untuk merampas semula kerusi Parlimen Gombak dan Ampang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Kedua-dua kerusi ketika ini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, masing-masing memenanginya atas tiket PKR namun kini bersama Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata parti itu juga mahu merampas Sabak Bernam dan Tanjong Karang, kedua-duanya kubu kuat Barisan Nasional (BN), lapor Media Selangor.
“Kita kekalkan Selangor jadi benteng PKR dan Pakatan Harapan (PH). Semangat atau prinsip sahaja tidak cukup tetapi kita kena susun (strategi).
“Kumpul kekuatan, lupakan sengketa. Inilah masa PKR Selangor jadi pasukan,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor hari ini.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata negeri itu kekal teguh meskipun berlaku ‘Langkah Sheraton’ serta pengkhianat parti dalam kalangan pemimpin di Selangor.
“Gombak, Ampang, Kapar serta beberapa lagi sekarang menggila ke setiap kawasan untuk bertanding tetapi tidak ada. Macam pelarian. Jadikan ini pengajaran,” katanya.
Beliau dipercayai merujuk kepada Mohamed Azmin, Zuraida dan Dr Daroyah Alwi yang keluar parti pada 13 Jun lalu.

