Zuraida akur jika kerajaan tolak pilihan raya kerajaan tempatan

0
2

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akur jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak pelaksaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Memetik laporan Bernama, Zuraida berkata, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) berpandangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah penting bagi rakyat.

Zuraida berkata beliau mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak, khususnya ahli parlimen PN yang lantang mengkritik sebelum ini, amat dialu-alukan.

“Saya tidak boleh menyekat mereka daripada berkata apa-apa, bagaimanapun ada tanggungjawab untuk kita pastikan mereka (tahu) apa (yang ada) di sebalik harapan untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.

Sebelum ini, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata kementeriannya menyasarkan untuk membentangkan usul pilihan raya PBT di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.

“Kementerian masih dalam penyediaan kertas kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya yang dijangka menelan kos RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhan yang merangkumi 154 PBT,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan Program Jelajah Merdeka@Komuniti, Zuraida, berkata selain Hulu Langat, tujuh lokasi lain dipilih untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat bersempena bulan Kemerdekaan, antaranya Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa, Kampung Melayu Ampang dan Taman Rasmi Jaya.

“Program di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu juga merupakan program turun padang dan sesi libat urus JaPen bersama rakyat dalam memasarkan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan,” katanya lagi.