PROPAGANDA kononnya “akar umbi” PAS memboikot calon Perikatan Nasional (PN) dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) adalah khabar angin palsu.
Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata perkara itu disahkan sendiri oleh ahli PAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Beliau berkata ahli PAS tulen sendiri tidak menggunakan istilah ‘akar umbi’ seperti dinyatakan menerusi laporan sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini.
“Jentera PAS yang tulen faham Usul 20 Imam Hassan Al-Banna yang mana usul pertama adalah “al-Fahmu” (Faham dan erti) arahan yang pimpinan taklifkan.
“Wala’ pada pemimpin untuk PRN Melaka itulah yang menatijahkan gerak kerja amal jama’ie yang berkesan untuk semua 28 kerusi PN.
“Insya-Allah kita akan menangkan calon muda kita di Ayer Molek, Ustaz Fadly Samin,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu beliau menziarah ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek (N18) bagi memberi sokongan kepada jentera PN yang membantu Mohd Fadly.
Wan Ahmad Fahysal berkata Mohd Fadly terkenal di Ayer Molek kerana banyak membantu belia-belia persekolahan sebagai pakar motivasi.
Baru-baru ini, dilaporkan akar umbi PAS memboikot calon PN, dan menyokong calon BN kerana selesa kerjasama PAS bersama Umno dalam Muafakat Nasional. – Malaysiapost

