Kes positif Covid-19 di Malaysia kini melepasi angka 10,000

0
3

[Covid-19] KES positif Covid-19 di Malaysia melepasi angka 10,000 apabila 62 lagi kes dicatatkan hari ini, menjadikan 10,031 kes direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 62 kes itu, satu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang membabitkan warganegara.

Katanya, 61 kes penularan tempatan pula membabitkan 41 warganegara dan 20 bukan warganegara.

“Kes tempatan yang membabitkan warganegara adalah dari Sabah 39 kes, Kedah dan Pulau Pinang masing-masing satu kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 26 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,235 kes, bersamaan 92.06 peratus.

Katanya, sehingga kini, 15 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 128 kes iaitu 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya. – Malaysiapost