BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Wira Abdul Ghaffar Atan dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian Alor Gajah sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat Covid-19.
Berita pemergian Allahyarham dikongsi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan ucapan takziah menerusi satu hantaran di Facebook.
“Pemergian beliau secara tiba-tiba sangat memberi kesan kepada kita semua yang masih meneruskan perjuangan demi kemenangan parti pada PRN Melaka kali ini.
“Semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para Kekasih-Nya di alam sana.
“Marilah kita hadiahkan bacaan Al Fatihah untuk arwah dan semoga jasanya kepada perjuangan akan menjadi bekalan berharga di sisi Allah,” katanya.
Turut mengucapkan takziah ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi mewakili pergerakan itu.
Asyraf Wajdi menyifatkan Allahyarham seorang pemimpin yang cukup dekat dan amat berjasa kepada masyarakat Asahan dan rakyat Alor Gajah.
Allahyarham tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 dalam PRN Melaka.
Media sebelum ini melaporkan beliau telah ditidurkan sejak lebih seminggu lalu berikutan keadaan kesihatannya semakin menurun. – Malaysiapost

