Persembahan kena kecam, kumpulan Puteh jumpa ‘Bosku’ mohon maaf

0
2

Nurul Huda Abhar

KUMPULAN lawak Puteh tampil memohon maaf secara terbuka kerana meniru watak seakan-akan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di pentas Maharaja Lawak Mega, Ahad lalu.

Kumpulan dianggotai Ali Puteh, Mamak dan Vilca bertemu empat mata dengan bekas Perdana Menteri itu semalam, dan mereka dibawa oleh pelawak Shahrol Shiro.

Menurut Ali yang mewakil dua lagi rakannya, apa yang terjadi di pentas Maharaja Lawak Mega itu memang tidak disengajakan kerana niat mereka sebenarnya adalah untuk menghiburkan semua peminat.

“Saya dan rakan mengaku kekhilafan kami di atas pentas itu yang memegang watak Datuk Seri dan Datin Seri, ingin memohon maaf secara terbuka.

“Niat kami untuk menghiburkan sebaliknya terjadi sedemikian,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di media sosial hari ini.

Sementara itu, dalam video sama Najib menerima permohonan maaf kumpulan lawak tersebut dan faham kandungan persembahan mereka bukanlah berniat untuk mengaibkan dirinya dan isteri.

“Ia semata-mata pentas lawak tetapi tafsiran sebaliknya. Saya difahamkan daripada reaksi orang ramai yang tidak senang hati dengan persembahan tersebut,” kata Najib.

Najib juga sempat berpesan menjadikan isu itu sebagai pengajaran dan sebolehnya tidak menggunakan pemimpin sebagai bahan atau topik bagi tujuan jenaka.

Bekas Perdana Menteri itu juga memuat naik video yang sama di Facebook rasminya, dan menulis kapsyen “Kita lupakan sajalah insiden ini. Kumpulan lawak, Puteh terus berusaha sehingga sukses”.

Kumpulan Puteh menerima kecaman selepas tampil di pentas Maharaja Lawak Mega Ahad lalu menjadikan Najib dan Rosmah sebagai bahan lawak.

Video persembahan kumpulan itu tular di media sosial sehingga menerima kritikan dan cemuhan netizen yang tidak puas hati dengan pemilihan bahan mereka yang dikatakan sengaja mempersendakan Najib dan pasangannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here