Pemuda PH cabar calon PRN sokong tiga cadangan

0
2

PEMUDA Pakatan Harapan (PH) Melaka mencabar semua calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyokong cadangan mereka bagi memastikan kestabilan politik di Melaka. 

Ketuanya, Howard Lee Chuan How berkata, ia termasuklah menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Anti Lompat Parti yang mengakibatkan rampasan kuasa sehingga menjatuhkan nama baik Malaysia. 

Beliau berkata, turut dicadangkan adalah memasukkan undi tidak percaya konstruktif dalam perlembagaan negeri bagi mengelak kekaburan atau keraguan peruntukan undang-undang sekali gus memastikan krisis politik berpanjangan sejak 2020 tidak berulang. 

“Justeru, kami mencabar calon dari semua parti termasuk bebas agar tampil menyatakan sokongan dan persetujuan terhadap ketiga-tiga cadangan ini di akaun media sosial masing-masing. 

“Sekiranya gagal, maka calon ini tidak layak diterima rakyat kerana mereka hendak sokong lompat parti, tak nak sokong layanan setara dan saksama dan tak mahu mekanisma yang menjamin kestabilan politik Melaka,” katanya pada sidang media Akujanji Reformasi Pemuda Melaka hari ini. 

Mengulas lanjut Howard berkata, ketiga-tiga cadangan itu telah pun dimeterai dalam Pelan Tindakan PH Melaka yang mana ia akan menjadi dasar kerajaan yang termaktub bagi undang-undang negeri sekiranya PH menang PRN Sabtu ini. 

Howard berkata, pelaksanaan undi tidak percaya konstruktif penting bagi mengelak kekaburan atau keraguan dalam peruntukan undang-undang yang sedia ada. 

“Kami membawa harapan dan usaha baru ini bagi membangkitkan semangat rakyat malah kami berhasrat menyuntik harapan baharu kepada pengundi. 

“Pengundi tidak mahu lagi melihat kebobrokan termasuk rampasan kuasa, Langkah Sheraton atau mana-mana langkah sewaktu dengannya yang telah menjatuhkan maruah nama baik Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here