PRN Melaka : Lelaki ditahan cabut bendera parti politik

0
1

SEORANG lelaki ditahan kerana dipercayai mencabut bendera dan kain rentang milik satu parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di persimpangan jalan Taman Melaka Perdana, Alor Gajah, semalam. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata satu laporan polis telah dibuat pada jam 8.54 malam berkaitan penahanan tersebut. 

“Hasil soal siasat mendapati tujuan lelaki tersebut melakukan perbuatan itu adalah kerana pemasangan bendera dan banner telah menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin keluar dan masuk ke simpang jalan. 

“Hasil pemeriksaan polis juga menemui lapan batang bendera berlogo Pakatan Harapan, empat batang bendera Perikatan Nasional dan 14 batang bendera Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, suspek juga mengakui tujuannya berbuat demikian tiada kaitan dengan elemen politik. 

Bagaimanapun, katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan suspek telah diberi jamin. 

Beliau turut memaklumkan, sebanyak lima laporan polis setakat ini telah dibuat berkaitan perbuatan sabotaj bendera dan kain rentang parti politik. 

“Dua laporan di daerah Melaka Tengah, dua laporan di daerah Alor Gajah dan satu laporan di daerah Jasin,” katanya. 

Justeru, beliau menasihati agar semua parti-parti politik yang bertanding supaya memasang atau memacak bendera di tempat yang tidak menghalang pemandangan pengguna jalanraya untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here