Bukan sementara, Sulaiman Ketua Menteri hingga habis penggal – Tok Mat

0
3

BARISAN Nasional (BN) menegaskan calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bukan calon Ketua Menteri sementara seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN telah memutuskan bahawa Sulaiman akan dilantik sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal jika parti itu diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

“Ini bukan cerita main-main… ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal, sebab kita nak menstabilkan kerajaan negeri.

“Bila sudah ada kestabilan, seorang Ketua Menteri, pentadbir yang mantap, yang didokong oleh parti dan disokong oleh rakyat, maka ia boleh memberikan sepenuh tumpuan untuk memakmurkan negeri.

“Maka tidak timbul soal Ketua Menteri ini sementara atau tidak, itu cuma mainan politik yang cuba meracuni minda pengundi Melaka,” kata Timbalan Pengerusi BN itu menerusi satu video yang dimuatnaik di Facebook rasmi BN.

Sehubungan itu Mohamad meminta pengundi Melaka agar tidak mendengar khabar angin kerana BN telah memutuskan untuk melantik Sulaiman sebagai Ketua Menteri jika memenangi PRN Melaka.

“Jadi janganlah dengar khabar angin, masa kempen ini macam-macam orang memfitnah,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here