‘Dunia dihujung jari, penduduk masih berlari-lari cari capaian internet’

0
1

Syaf Ziyad

FAKTOR kelembapan capaian internet di lima taman perumahan dan Kampung Ayer Merbau Luar, Bemban yang mempunyai sekitar 1,500 penduduk nyata mengecewakan mereka dalam menjalani urusan seharian.

Betapa tidak, ketika akses dunia dikatakan sudah berada di hujung jari, ada antara mereka terpaksa ‘berlari-lari’ semata-mata mencari ‘signal’ yang kuat daripada telefon pintar digunakan.

Mungkin ia kedengaran lucu, namun itulah senario terpaksa dihadapi penduduk baik golongan pencen, peniaga mahupun pelajar yang sudah muak dengan masalah tiada berpenghujung itu.

Bagi pekerja kedai makan, Muhd Hazrul Aiman Hamzah, 18, pesanan diterima pelanggan kerap terganggu apabila mereka sukar menembusi talian daripada aplikasi yang digunakan.

“Pernah juga beberapa kali saya dimarahi pelanggan kerana sukar membuat pesanan namun selepas dijelaskan sebabnya barulah mereka faham,” katanya.

Pelajar Tingkatan Tiga, Muhammad Irfan Azmi, 15, berkata kelembapan capaian internet juga menyukarkannya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga kerap ditegur guru.

“Guru menegur apabila saya kerap ponteng kelas dalam talian kerana ‘stress’ apabila setiap kali mengikuti kelas saya terpaksa berlari ke sana sini dalam rumah kerana isyarat yang masih ‘tenggelam timbul’,” katanya.

Sementara itu, calon bebas DUN Bemban, Datuk Ng Choon Koon yang turut melakukan tinjauan bersama penduduk berjanji akan segera menyelesaikan masalah itu sekiranya menang PIlihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

“Sememangnya masalah ini juga terkandung dalam salah satu manifesto iaitu memastikan masalah capaian internet lemah di kawasan ini dapat diatasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here