Akta Perlindungan Pemberi Maklumat diakui ada kelemahan – Wan Junaidi

0
3

HASIL kajian bagi penambahbaikan dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijadual akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata cadangan penambahikan akta itu kini sedang diteliti jawatankuasa khas pindaan akta berkenan.

Beliau berkata, akta itu telah digubal bertujuan memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar.

Menurutnya, bagaimanapun berdasarkan statistik menunjukkan terdapat kelemahan sama ada dalam pelaksanaan akta tersebut atau dalam peruntukan-peruntukannya.

“Sejak 2011 hingga sekarang berjumlah 73,545 dan dalam masa yang sama pemberi maklumat yang mendapat kemudahan di bawah akta ini hanyalah 527 orang.

“Maknanya nisbah yang amat kecil mendapat perlindungan di bawah undang-undang ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat di bawah Akta 711.

Menurutnya, tujuh agensi penguatkuasaan mengguna pakai akta berkenaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Beberapa kajian dibuat untuk pindaan akta ini membabitkan sesi libat urus dengan pihak pemegang taruh.

“Satu jawatankuasa juga telah ditubuhkan bagi menilai, mengkaji serta menetapkan parameter berdasarkan cadangan pindaan penambahbaikan yang telah diterima daripada pihak berkepentingan

“Ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada pihak Agensi penguatkuasa, agensi, jabatan di negeri-negeri, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO)” katanya.

Wan Junaidi berkata, tujuh isu yang berkaitan dengan Akta 711 telah dikenalpasti untuk diberi keutamaan dalam proses penambahbaikan membabitkan beberapa Seksyen yang perlu dipinda.

“Kerajaan mengalu-alukan cadangan dan maklum balas berhubung akta ini bagi memastikan pindaan dapat memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dan seterusnya mengekang kes salah laku dan rasuah terutama kes berprofil tinggi.

“Saya sudah terlibat dengan Akta ini sejak 2011 dan pernah mencadangkan bagi memperkasakan undang-undang ini mesti ada satu lagi pihak yang bertindak sebagai penampan (buffer) supaya pemberi maklumat tidak diketahui oleh agensi yang diadu.

“Pada masa sekarang sistem yang ada ialah pengadu perlu buat aduan kepada pihak atasan di agensinya yang kemungkinan ada kebocoran mengenai pemberi maklumat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here