Kerteh FC lancar produk beras

0
2

KELAB Bola Sepak Kerteh hari ini melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan sebagai salah satu produk terbaharu kelab terbabit.

Pelancaran bersama Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd itu diadakan di ibu pejabat syarikat kelab, KAL Services Sdn Bhd, Kerteh, sebentar tadi.

Dalam majlis ringkas itu, wakil kedua-dua pihak menzahirkan rasa gembira dengan termeterainya kerjasama ini setelah perbincangan awal dilakukan sejak October tahun lalu.

Lebih membanggakan logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab bukan sahaja berada pada plastik bungkusan beras tetapi juga diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan iklan dan komersial.

Manakala logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, berkata memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara.

“Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.

“Harapan kami, kerjasama bersama syarikat Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise, Mohamad Adam Suffian Yacob berkata, pihaknya yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC.

Katanya, Kerteh FC merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini.

“Sebelum ini pasaran beras cap buah-buahan kami hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut, Bachok dan Pasir Putih sahaja.

“Dengan kerjasama bersama Kerteh FC ini, ianya dapat menambahkan lagi keyakinan kami bahawa kerjasama ini akan membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini,” katanya.

Bermula hari ini, peminat dan penduduk Kerteh boleh merasai keenakkan Beras Super Premium Cap Buah Buahan di kedai-kedai runcit terpilih sekitar Kerteh, Kemasik dan akan berkembang lebih luas lagi selepas ini di daerah Kemaman dan Dungun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here