11% keluar mengundi awal setakat 9 pagi

0
2

SEBANYAK 11 peratus daripada 11,557 pemilih yang layak mengundi awal sudah menunaikan kewajipan masing-masing setakat jam 9 pagi tadi, menurut laporan pasukan Sistem Peratus Pengundi Keluar Mengundi (SPEKMu) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jumlah itu dijangka akan terus meningkat menjelang tengah hari memandangkan rata-rata anggota dan pegawai tentera serta polis dilihat turun menunaikan kewajipan masing-masing, lapor portal Melaka Hari Ini.

Bagi pengundian awal, Suruhanjaya Pilihan Raya telah membuka sebanyak 24 pusat pengundian awal di seluruh negeri.

Pusat pengundian awal itu dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, hari ini.

Proses pengundian awal akan menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat dikuatkuasakan SPR bagi mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 di bawah pelan pemulihan negara kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan di pusat-pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum dibenarkan masuk mengundi.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara penstriman langsung menerusi akaun Facebook.

Sementara menunggu proses pengiraan pada 20 November ini, kertas undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here