PERKHIDMATAN pengiring keselamatan dan pengiring trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi bekas Perdana Menteri disediakan berdasarkan peruntukan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata khidmat kedua-dua pengiring berkenaan disediakan oleh PDRM berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237] berhubung keistimewaan bagi bekas Perdana Menteri buat masa ini
Katanya, ini kerana sejak akhir-akhir ini, PDRM mengesan beberapa pihak yang mempertikaikan keistimewaan pengiring keselamatan dan pengiring trafik bagi bekas-bekas Perdana Menteri.
“Buat masa ini, PDRM memberikan perkhidmatan berkenaan kepada kesemua bekas Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Acryl Sani berkata, khidmat pengiring kedua-dua pengiring tersebut juga diberikan kepada mana-mana bekas Perdana Menteri yang sedang berhadapan tindakan undang-undang.
“Bagi mana-mana bekas Perdana Menteri yang sedang berhadapan tindakan undang-undang, PDRM akan mengekalkan kelayakan kemudahan menggunakan khidmat pengiring keselamatan dan pengiring trafik kepada mereka, sehingga proses rayuan dimuktamadkan oleh mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

